Tuesday, 17 January 2012

~Mu'tah~


PEPERANGAN MU'TAH II

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  Janganlah  kita  hanya  tahu  mendengar  sahaja  perkataan  taqwa  serta  menyebutnya  sedangkan  ia  tidak  menyerap  ke dalam  sanubari  kita . Hitunglah  diri kita  setiap  masa  samada  semakin  hampir  kepada  Allah atau  sebaliknya.  Adakah  amalan  soleh  kita  semakin  meningkat  atau pun  menurun….
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 111 surah at-Taubah yang bermaksud : 


"Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yag beriman jiwa dan harta benda mereka dengan balasan bahawa mereka akan beroleh Syurga disebabkan mereka berjuang pada jalan Allah. Maka di antara mereka ada yang membeunuh dan terbunuh. Balasan Syurga yang demikian ialah sebagai janji yang benar yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam Taurat, Injil dan al-Quran. Siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? OLeh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jualbelinya itu dan ketahuilah bahawa jualbeli yang seperti itu ialah kemenangan yang besar "

Jamadil Awwal sebagaimana bulan-bulan Islam yang lain pernah memahatkan peristiwa bersejarah di mana pada bulan ini telah berlakunya peperangan Mu'tah di Mu'tah yang terletak berhampiran dengan Kota Karak, Jordan. Ia berlaku pada tahun 8H disebabkan pembunuhan Harith bin Umair Al-Azdi yang merupakan utusan yang dihantar oleh Rasulullah S.A.W kepada Raja Busra. Tentera muslimin seramai tiga ribu orang telah dikumpul dalam masa yang singkat untuk keluar berperang di Mu'tah di mana Rasulullah S.A.W tidak turut serta dalam peperangan ini. Daripada tindakan ini dapatlah kita mengambil iktibar yang mana Islam bukanlah agama yang tertegak melalui mata pedang kerana peperangan adalah langkah yang terakhir selepas utusan yang diutuskan untuk menjalankan kerja-kerja dakwah tidak diterima malah dikhianati maka barulah tindakan yang lebih kasar iaitu peperangan boleh dilakukan.
      Sebelum para tentera muslimin memulakan perjalanan mereka, Rasulullah S.A.W telah memberi arahan dari segi kepimpinan ketika berlakunya peperangan yang mana dimulai dengan Zaid bin Harithah diikuti oleh Ja'afar bin Abi Thalib jika Zaid gugur. Kemudian diganti oleh Abdullah bin Rawahah apabila Ja'afar telah syahid. Jika ketiga-tiganya telah gugur maka para tentera diminta memilih salah seorang yang thiqah atau dipercayai di kalangan mereka untuk memimpin. Rasulullah juga mengingatkan mereka agar tidak terus melancarkan serangan, sebaliknya meminta agar pembunuh utusan dakwah itu ditangkap dan di bawa ke Madinah disamping menyeru kepada penduduk Mu'tah agar beriman terlebih dahulu. Jika seruan itu ditolak maka barulah mereka boleh melancarkan serangan. Baginda turut berpesan agar tidak membunuh kanak-kanak, kaum wanita, orang tua, tidak mengerat pohon kurma dan pokok serta tidak memusnahkan kediaman mereka.Inilah ia keadilan Islam di mana tidak ada erti balas dendam sebaliknya walau pun telah jelas berlakunya kezaliman terhadap utusan dakwah yang dihantar namun usaha untuk menyeru kepada Islam mestilah didahulukan sebelum sesuatu peperangan dilancarkan setelah musuh berdegil dan melawan seruan dakwah itu. Begitu juga kepentingan kepada pemilihan dan perlantikan kepimpinan mestilah dititik beratkan di mana ia mesti disertai dengan amanah oleh pemimpin dan taat serta kepercayaan oleh orang di bawahnya.
      Ketika tentera Islam mahu bertolak ke medan perang, mereka kehairanan melihat Abdullah bin Rawahah menangis. Ketika ditanya tentang sebab beliau menangis lalu di menyatakan bahawa masih tersemat cinta pada dunia dihatinya sedangkan Rasulullah s.a.w telah membaca ayat 71 surah Maryam yang bermaksud : 


"Dan tiada seorang pun daripadamu melainkan mendatangi neraka itu. Keadaan itu bagi Tuhanmu merupakan suatu kemestian yang telah ditetapkan."

Abdullah bin Rawahah menyatakan ketakutan apabila merenungi ayat tadi. Lalu para sahabat yang lain menenangkannya serta mendoakan agar dijauhkan daripada perkara itu.
Setelah itu mereka bertolak menuju ke Mu’tah yang terletak beribu kilometer dari Kota Madinah. Sebaik sahaja mereka tiba di Ma’an iaitu sebuah pekan yang terletak lebih kurang 100 kilometer dari Mu’tah, tentera musuh telah mendengar kemaraan tentera Islam di mana dengan segera panglima perang musuh, Harcules mengumpul bala tentera lebih seratus ribu orang disamping Syurahbil pula mengumpul seramai seratus ribu bala tentera yang lain hasil gabungan qabilah Lakham, Juzam, Balqin dan Bahara'. Apabila mendengar berita mengenai jumlah tentera musuh yang begitu ramai, maka tentera muslimin telah berbincang langkah mereka yang seterusnya di Ma'an selama dua malam. Ramai di kalangan mereka telah mencadangkan agar menghantar maklumat kepada Rasulullah S.A.W mengenai perkara ini tetapi Abdullah bin Rawahah dengan tegas bangun menyatakan : Demi Allah! Adakah kita benci kepada sebab keluarnya kita ke sini iaitu memburu syahid.Kita bukan datang berperang semata-mata kerana bilangan, bukan kekuatan dan bukan kerana kuantiti tetapi kerana agama Islam yang telah Allah memuliakan kita dengannya. Maka maralah kamu sesungguhnya salah satu daripada 2 kebaikan akan kamu perolehi samada beroleh kemenangan atau pun gugur syahid bersama keredhaan Allah. Kata-kata semangat ini berjaya meniupkan kembali roh jihad dalam diri tentera Islam.
      Peperangan meletus sebelum masuk kawasan Mu'tah lagi di antara tentera Islam berjumlah 3 ribu orang dengan tenterra Rom seramai 200 ribu orang. Pada mulanya Zaid bin Harithah yang memegang bendera panji Islam tetapi beliau telah gugur syahid di mana panji tersebut seterusnya dipegang oleh Ja'afar bin Abi Thalib. Beliau turut gugur syahid di mana pada permulaannya tangan kanan beliau ditetak putus oleh musuh. Kemudiaannya beliau terus mengawal bendera panji Islam agar tidak jatuh dan ketika ini tangan kirinya pula dipotong oleh musuh. Namun begitu beliau terus menggigit bendera panji dengan giginya tetapi kali ini kepalanya telah dipenggal yang menyebabkan beliau gugur syahid. Selain kedua tangannya yang putus ditetak oleh musuh, terdapat 50 kesan panahan pada badan beliau. Rasulullah s.a.w menyatakn bagaimana Allah menjadikan kedua tangannya itu sebagai sayap yang membolehkan beliau berterbang bebas di Syurga. Sebab itulah beliau digelar dengan Ja’afar at-Toyyar dan Ja’afar yang mempunyai 2 sayap. Kemudian panji bendera Islam itu berpindah ke tangan Abdullah bin Rawahah tetapi beliau juga gugur syahid yang mana kepimpinan selepas itu diterajui oleh panglima perang yang agung iaitu Khalid bin Al-Walid dengan persetujuan daripada tentera Islam yang lain. Peristiwa ini mengajar kita agar bermujahadah di dalam menjaga maruah diri dan Islam tercinta walaupun nyawa sebagai bayaran. Arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin wajib dipatuhi selagi mana ia tidak bersalahan dengan syarak.
      Akhirnya kita dapat menyaksikan bagaimana Allah tetap menolong dan memberi kemenangan kepada hambaNya yang istiqomah, thabat dan bermujahadah dalam perjuangan yang hak dan ianya memerlukan ujian, mehnah dan dugaan bukannya boleh dihasilkan dengan cara mudah dan setakat goyang kaki sahaja.Seramai 12 orang tentera Islam yang gugur syahid termasuk 3 panglima yang dilantik. Manakala bilangan tentera Rom pula tiada jumlah secara tepat tetapi agak ramai yang mati.
Kesan daripada peperangan ini masih ada sehingga sekarang yang mana kita boleh melawat maqam-maqam sahabat yang telah gugur syahid dalam peperangan ini di Mazar berdekatan dengan Mu'tah. Beberapa tahun yang lepas pihak kerajaan Jordan telah menggali dalam kawasan yang mana dikuburkan para syuhada' bagi membina masjid baru menggantikan masjid yang lama. Ketika berjalannyakerja-kerja ini, berlakunya peristiwa yang mana salah sebuah jentolak yang digunakan telah terkena tubuh syuhada' dan darah segar masih mengalir dari tubuh mereka walaupun lebih seratus tahun mereka meninggal dunia. Perkara ini berlaku kepada kubur-kubur yang tidak jelas kewujudannya kerana tiada sebarang tanda yang digunakan. Peristiwa ini meyakinkan lagi kepada kita bahawa mereka yang gugur syahid sebenarnya tidak mati di sisi Allah. Islam akan menang walaupun ia ditentang dan kekufuran akan kecundang walaupun ia ditatang oleh sebab kejahilan.Benarlah firman Allah dalam ayat 169 yang bermaksud : 


"Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, sedangkan mereka itu tetap hidup di sisi Tuham mereka dengan diberi rezeki"

Renungilah Firman Allah dalam ayat 36 dan 37 surah al-Isra' yang bermaksud : 

"Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang terdekat akan haknya, kepada orang-orang miskin dan ibnu sabil dan janganlah kamu membelanjakan hartamu secara membazir. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu merupakan saudara syaitan dan syaitan adalah sangat engkar kepada Tuhannya." 

Adakah ketika ada orang yang merengkok kesunyian dalam penjara kerana difitnah kita masih bergalak dengan hiburan yang melekakan. Adakah kita sanggup menggunakan rezeki yang diberikan untuk mendapatkan tiket bagi berhibur sedangkan di sana masih ramai umat Islam yang memerlukan bantuan daripada kita. Ketika anak-anak kita buta al-Quran dan agama adakah kita masih tergamak membawa mereka ke medan hiburan sehingga mereka semakin jauh daripada masjid  dan terleka dengan hiburan yang tidak membangunkan tamadun dan minda generasi kita. Ketika Islam memerlukan pengorbanan masa yang lebih dari kita untuk memperjuangkannya adakah kita masih lagi terus leka dengan permainan yang membazirkan wang dan masa kita. Marilah sama-sama kita menginsafi diri dan merenungkan masa depan agama, bangsa dan negara kita dengan mengisinya dengan kefahaman agama yang mantap bukannya dengan hiburan yang  melalaikan. Ingatlah bahawa tugas kita untuk Islam lebih banyak daripada masa kita.

Sumber: Web Darululum

No comments:

Post a Comment