Tuesday 19 November 2013

~Hijrah Cintaku~

Malam itu lunak. Tanpa dikaburkan bait irama yang disangka nan indah. Diserakkan bersama rasa malu. Puncak akhlak itu kian tertinggi, antara dua keping jiwa. Berkorban rasa pinta direnyaikan. Bilakan saat terindah itukan terjaga. Teruskan terpelihara, lamanya hingga usai siap siagalah mereka. Dalam hati sang pendoa, sentiasa rasa terhibur. Pada resah yang bersinggah. Pada kelu sendu, direlungi titisan air matanya.
Tahajjud malam hari kan mendekatkan yang jauh. Yakin dan tulus. Semakin tunduk dan mendekatlah sayup doa yang sama. Meminta untuk dijauhi. Memohon agar hati tidak sesekali dicemari.
Mempercayai bisik harap. Sentiasa ia bersuara. Kerap dan sentiasa pinta dijauhkan. Sebelum waktunya. Sungguh, jiwa-jiwa yang mencintai keredhaan Tuhannya. Tidak sesekali inginkan kalimat indah. Terpacul penuh mudah. Tertulis penuh bait. Ia mahu untuk disimpan. Iakan mahu untuk dihijab. Iakan sentiasa gamang. Pada gerun takut pada zina. Bukankah terindahnya kerna menjauhi kotor dan keji? Dan sering hati dan segala anggota meneguk terus, ungkap-ungkap suci dan telus dari Tuhannya.
“Demikianlah supaya kami memalingkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba kami yang terpilih.”  (Yusuf, 24)

Seribu musim pun akan terus berlalu. Saat fikir tiada lagi akan sebuah penantian. Jauh dari dasar hati, mahu iakan muncul di akhirnya. Sungguh, tetapnya hati itu. Kerna tetapnya istikharah yang berdesir. Pada wajah yang tak pernah nampak, pada suara yang tak pernah tersurat.
Menjauhi corong emosi. Bergetar pada sebelahnya nafsu yang maha keji. Menyiratkan malu yang bertemu. Sujud terindah dan tertulislah kedekatan sebuah taqdir. Akan sebuah rindu terindah. Tersiksa kerna berusahanya dari sisi halal. Terperit kerana doanya tak pernah menipis. Tersedu sedan kerna memilih simpang yang sulit namun penuh tulus dengan bait keimanan haqiqi. Demi semata-mata meraih RedhaNya. Kerna rasa padaNya adalah yang utama dan pertama! Lantas, jalan itu dilalui.
Berusaha sentiasa perlu bermuhasabah. Usah sampai segalanya nampak putih dan gebu. Sedang syariat bersuara serak menafi rindu di qalbu. Memilih untuk mencintai. Umpama berkorban tanpa henti. Umpama menanti suatu yang pasti. Bukankah?
Malam akan sentiasa mendatang. Bingit menyiksa hingga kapan pun hilang bicara. Menulis rangkap bisa buat hati yang menanti. Bernafasnya DEMI dan HANYA Ilahi. Simpang kanannya bercahaya. Sulit. Pandanglah ke hadapan.
Kesulitan takkan pernah berubah pada namanya. Ia kan sentiasa bersifat sukar. Ianya berduri. Ianya perlu iman tebal di hati. Ianya perlu redha ayah dan ibu yang dicintai. Ia juga, sentiasa melukis pada sebuah kanvas hijrah. Kepada kebaikan. Kepada kesempurnaan.
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang AKU, Maka (jawablah), bahwasanya AKU adalah dekat. AKU mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Baqarah, 186)

 - iluvislam.com

Wednesday 9 October 2013

Membuat Pilihan Tentang Jodoh

Antara topik yang sering dikongsikan adalah membuat pilihan tentang jodoh.
Pilihan itu terasa lebih sukar kerana kedua-dua calon itu kelihatan baik dan punya kelebihan masing-masing.
Juga diketahui ada kelemahan masing-masing, yang membuatkan kita amat berhati-hati bercampur bimbang membuat pilihan.
Teman-teman dan adik-adik yang dikasihi, ambillah masa yang sewajarnya untuk ta’aruf dan bangunkan komunikasi samada secara direct atau melalui orang tengah.
Adalah penting usaha kita sebagai seorang insan untuk merisik, menyiasat, menyoal selidik dan segala bentuk pencarian maklumat dan latar belakang insan yang kita cenderung menerimanya sebagai teman hidup.
Bukan mencari kesempurnaan, bukan menyelongkar keaiban insan lain namun penyiasatan dan pemerhatian kita kepada bakal pendamping adalah persediaan penting.
Ia menjadi pembuka mata untuk kita membina rumahtangga dengan lapang dada dan bersedia dengan kemungkinan yang tiba.
Sebaiknya penyelidikan kita itu, kita musyawarahkan dengan ibu dan ayah atau orang-orang yang amanah serta berilmu. Kita bukan meminta orang lain membuat keputusan, namun pandangan mereka akan menjadiextra ’mata’ dan ‘telinga’ untuk kita memilih teman hidup dengan teliti.


Jika kelak kita telah membuat keputusan memilih samada si A atau si B, ada perkara-perkara penting pula untuk DIRI KITA sendiri fokus dan lakukan.
Usah bermain-main dengan keraguan perasaan
Akankah lelaki ini kelak membahagiakan diriku?
Adakah lelaki ini akan menjadi pemimpin yang baik untukku?
Akan tulus ikhlaskah cinta kasihnya padaku?
Adakah lelaki ini kelak akan menghormati dan menghargaiku sebagai seorang isteri?
Bagaimana kelak dia akan melayaniku sebagai isteri, akan santun dan baikkah pekertinya?
Adakah kelak lelaki ini akan boleh menyesuaikan diri dan berbuat baik dengan ahli keluargaku?
Adakah hati ini akan bahagia menjadi isteri kedua, terlibat dengan poligami?
Sesungguhnya persoalan-persoalan ini adalah penting bukan untuk si dia bakal suami, tapi manfaatkanlah persoalan ini untuk perbaikan diri kita dalam menjadi seorang isteri.
Jika jawapannya tidak seperti yang kita jangkakan dan harapkan, bila-bila masa sahaja alam pernikahan akan mengundang kecewa dan gundah berpanjangan.
Sebaliknya, marilah bertanya pada diri
Wahai diri, adakah keperibadian seperti diri ku ini kelak akan membahagiakan hati seorang suami?
Adakah karakter diriku ini membuatkan suamiku tenang dan senang dengan diriku sebagai orang/ isteri yang dipimpin?
Mampuku diriku tulus mencintai suami kerana Allah, bersabar dan berhikmah dengan seribu satu kelemahannya?
Mampukah kelak diriku menghormati keputusan dan tindakan suamiku sebagai pemimpin, walau ia berbeza dengan kehendak dan rasa hatiku?
Mampukah diriku menjadi isteri yang merasa cukup (qanaah) dan menghargai pemberian dan kebaikan suami setulusnya?
Kelak adakah diriku mampu untuk memilih akhlak seorang isteri yang penuh ketaqwaan sewaktu hati dicuit ketidakpuasan dan kemarahan jua kesedihan?
Harus bagaimana nanti untukku menyesuaikan diri jika ibu bapa mertua dan ipar duai tidak serasi cara hidup dan pemikiran mereka denganku?
Seandainya diriku menjadi isteri kedua atau ketiga, apakah sumbangan dan perananku untuk menambah kebahagiaan suami dan keluarganya yang sedia ada?
Nah.. ayuh kita bersama menjawab persoalan ini, dan mengubah diri menjadi lebih baik.
Ya, kita takut tersalah pilih dalam membuat keputusan untuk pernikahan,namun percayalah Allah bersama-sama dengan orang yang melakukan kebaikan, yang sentiasa melakukan perubahan ke arah kebaikan.
Sikap, karakter diri, dan penghayatan Islam pada diri kita sendiri insya-Allah kelak akan bawa pengaruh yang besar pada suami dan rumahtangga.

Saat ini, berusahalah memilih calon suami yang beriman, usah keterlaluan memikirkan masa depan yang kita tak ada kawalan.
Isteri yang baik, tidak semestinya memiliki suami yang baik, kerana pernikahan adalah ruang ujian, teman hidup kita boleh saja menjadi ujian getir dalam hidup yang sebentar ini.
Suami akan berubah cepat atau lambat, namun moga sifat dan sikap kita yang penuh nilai-nilai kebaikan mampu menjemput suami dan anak anak berubah kepada jalan yang dicintai tuhan.
- I luv Islam -