Sunday 20 November 2011

~Azab Kulit~

Di dalam al-quran dan juga hadis telah menyatakan antara azab seksa neraka ialah kulit kita.

Allah Ta’ala berfirman; Bahawasanya orang-orang yang kafir akan ayat-ayat Kami itu akan dilemparkan ke dalam neraka . Tiap-tiap hangus kulit mereka terbakar, maka ditukarkan dengan kulit yang baru, supaya dirasakannya seksa dengan amat sangat. Sesungguhnya Allah Perkasa lagi Bijaksana..(An-Nisa’:56)

Syeikh Qurthubi menulis dalam bukunya Tazkirah, sebagai berikut; Di waktu api membakar itu, maka mengelupas kulit, gugur daging yang melekat di tubuh dan kelihatan tulang memutih. Mereka meronta-ronta kesakitan, memekik sekuat-kuatnya. Mereka menangis. Air mata bercucuran. Habis air mata, maka keluarlah darah. Terjadinya penyesalan-penyesalan namun sedikitpun tidak ada gunanya.

Bukan begitu; Sesungguhnya neraka itu menyala-nyala, lagi membongkar kulit kepala..(Al-Ma’arij 15-16)

Mengapa KULIT manusia dipilih sebagai AZAB di neraka?

Para saintis telah membuktikan bahawa kulit bukan sahaja menyimpan lapisan lemak dan kelenjar peluh bahkan kulit adalah merupakan saraf deria yang berperanan dalam mengesan segala rasa samada sakit, sejuk, panas dan apa jua bentuk sentuhan pada permukaan kulit. Sekiranya kulit yang melecur akibat terbakar ia akan memberi ransangan kepada beberapa deria yang penting bagi manusia iaitu deria sentuh, deria rasa sakit dan deria haba. Cuba kita bayangkan jika kulit kita terluka, melecit atau tersiat, terkena air sedikit pun sudah terasa pedih. Atau mungkin terbakar meliputi keseluruhan badan sudah pasti kita merasa sakit teramat menahan penderitaan. Kerana itulah, jika kita meneliti kembali firman Allah Ta’ala tersebut jelaslah bahawa penyeksaan manusia terhadap kulitnya sendiri itu amat azab sekali. Apatah lagi kulit yang terbakar akan sentiasa digantikan dengan kulit yang baru lalu dibakar kembali begitulah seterusnya.

Peringkat kulit terbakar :

1)Luka terbakar tahap pertama menunjukkan kemerahan, kesakitan dan bengkak pada tempat yang tercedera.

2)Luka terbakar tahap kedua biasanya menunjukkan kemerahan dengan kulit yang melepuh, melecet dan juga mengelupas serta, kesakitan yang amat sangat.

3)Luka terbakar tahap ketiga akan menunjukkan gejala seperti kulit kelihatan putih, merah, perang dan kadang-kadang hitam; cecair badan meleleh keluar dari sesetengah tempat dan, bengkak yang serius. Tiada kesakitan disebabkan kebas yang dialami.

Sesungguhnya akhirat merupakan tempat yang kita tidak akan mati-mati buat selamanya. Lalu bagaimana kita mampu menahan seksaan neraka dalam keadaan sebegitu?

Allah Ta’ala berfirman; iaitu orang yang masuk neraka maha besar. Di sana tidak akan mati lagi dan tidak pula hidup..~(Al-A’la 13-14)

No comments:

Post a Comment